Peluang akhir PKNP FC

Oleh Azizan Hashim 20 Julai 2019 985
Peluang akhir PKNP FC

Abu Bakar Fadzim berharap pemain PKNP FC merebut peluang akhir mereka dengan menghasilkan kemenangan ke atas Petaling Jaya City (PJC) FC, malam esok untuk mengelak penyingkiran ke Liga Perdana 2020.

Walaupun akan bertemu lawan yang baru menjadi penakluk gergasi selepas berjaya menumpaskan juara Liga Super 2019, Johor Darul Ta'zim (JDT), jurulatih itu mahu pemain memberi persembahan terbaik mereka dalam pertembungan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu.

"Ini peluang terakhir buat kami. Jadi,  kami tiada pilihan melainkan cari kemenangan agar tidak perlu bergantung nasib kepada orang lain," katanya.

PKNP FC ketika ini menduduki tangga ke-10 mengatasi Felda United dengan perbezaan jaringan walaupun masing-masing mengutip 16 mata. Kuala Lumpur di tangga tercorot dengan 14 mata.

Felda United akan bertemu Kedah di gelanggang sendiri manakala Kuala Lumpur menentang Perak di Stadium Perak.

"Sebenarnya ketiga-tiga pasukan mempunyai peluang jika menang perlawanan terakhir masing-masing ini.

"Kami mahu menang bagi menunaikan cabaran yang dilontarkan oleh Presiden PKNP FC supaya kekal dalam Liga Super 2020," katanya.

Abu Bakar yakin anak buahnya mampu memenuhi impian itu berdasarkan kejayaan mengutip mata dengan pasukan handalan seperti JDT, PKNS dan Kedah.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen