Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi peringatan kepada pasukan yang mempunyai masalah tunggakan gaji pemain agar menyelesaikan kemelut berkenaan sebelum 31 Ogos ini bagi mengelak daripada kegagalan mendapatkan lesen bertanding pada musim depan.

Isu tunggakan gaji pemain masih membelenggu bola sepak negara meskipun wang hak penyiaran liga sudah diagihkan kepada semua pasukan 15 Julai lalu.

Ia menyaksikan beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga-M), yang masih wujud atau yang sudah berkubur, masih gagal menyelesaikan kemelut berkenaan walaupun sudah berkali-kali diarahkan.

Bagaimanapun, kegagalan untuk berbuat demikian sebelum tarikh akhir permohonan pelesenan kelab FAM, hujung bulan ini, boleh mengundang masalah kepada pasukan terbabit.

"Pasukan yang gagal menunjukkan laporan kewangan yang menunjukkan mereka tiada hutang mungkin tidak (diberikan) lesen pada tahun depan, tetapi mereka masih ada masa untuk menyerahkan dokumen-dokumen yang baru.

"Semua kelab prihatin tentang perkara ini.

"Bukan hanya (melibatkan) pemain sahaja, malah kelab juga perlu menjelaskan segala hutang yang ada sebelum 31 Ogos ini," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, ketika ditemu bual di pejabat Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Kelana Jaya, hari ini.

Untuk rekod, Kelantan gagal mendapatkan lesen kebangsaan dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), tahun lalu ekoran tidak menepati kriteria yang ditetapkan seperti kegagalan melunaskan sepenuhnya tunggakan gaji pemain.

Pelesenan kelab diwajibkan ke atas pasukan Liga Super sejak 2018 manakala bagi Liga Perdana akan bermula tahun depan selepas diperkenalkan pada 2017.

"MFL atau FAM perlu memperkenalkan langkah ini secepat mungkin bagi memastikan kelab yang benar-benar sihat mengikut prosedur pelesenan," kata Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.