Terengganu FC (TFC) dijangka tidak berdepan masalah untuk beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak, Kuala Nerus dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim, stadium itu tidak digunakan sebelum ini kerana faktor padang.

Justeru, tidak timbul isu keselamatan selain mendapat jaminan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), yang membenarkan mereka beraksi di SSMZA.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan melakukan pemeriksaan akhir Selasa ini untuk memberikan 'lampu hijau' kepada PBSNT.

"Kami masih mengguna pakai kelulusan sedia ada daripada JKR yang menjamin keselamatan stadium.

"Pada 2016, pasukan Liga Super juga beraksi di SSMZA yang tiada bumbung, namun kami tidak teruskan kerana masalah padang," katanya.

Walaupun kali terakhir digunakan dalam Liga Super 2016, SSMZA masih dijadikan gelanggang rasmi buat skuad Piala Presiden dan Piala Belia.

Pada April 2019, kerja-kerja menaik taraf padang berjumlah hampir RM1 juta telah dimulakan selain pengumuman tambahan RM1.2 juta bagi membaiki kemudahan lain bulan lalu.

"Insya-Allah, tiada masalah untuk memulakan Liga Super dengan menentang Perak pada 29 haribulan ini.

"Harga tiket di semua tempat duduk juga sudah ditetapkan pada harga RM15," tambahnya.



*Kredit foto: Terengganu FC (TFC)