Ahli-ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sebulat suara bersetuju meminda perlembagaan persatuan dalam Kongres Luar Biasa PBSNT di Kuala Terengganu, hari ini.

Agenda utama yang dipersetujui ialah pindaan Artikel 33 Perkara 1 dan 2 serta Artikel 39 PBSNT yang menyaksikan jawatan presiden secara automatik akan disandang Menteri Besar negeri itu.

Pindaan itu menyaksikan PBSNT kini diterajui Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman secara rasmi susulan kekalahan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 pada 9 Mei lalu.

Ahmad Razif dalam sidang medianya meletakkan kepercayaan PBSNT mampu memperoleh kejayaan lebih cemerlang di bawah pimpinan presiden baru.

"Hari ini, kami bersetuju sesiapa sahaja yang menjawat jawatan Menteri Besar akan secara automatik menjadi presiden PBSNT.

"Jawatan timbalan presiden pula akan dilantik dengan persetujuan presiden dan semoga perubahan ini memberi kesan positif kepada pasukan Terengganu," jelasnya.

Menurut Ahmad Razif lagi, penstrukturan melibatkan Terengganu Football Club (TFC) yang dibuat tahun lalu wajar diteruskan kerana sudah mula menampakkan hasil.

Prestasi memberangsangkan TFC III dalam saingan Piala Presiden serta TFC IV (Piala Belia) membuktikan mereka di landasan tepat dalam menyediakan pasukan yang berkualiti selain penekanan kepada skuad TFC dalam Liga Super.

"TFC III dan TFC IV masing-masing menduduki tangga teratas dan ini petanda yang baik.

"Saya berharap kepimpinan baru PBSNT meneruskan program ini kerana matlamat asal TFC ialah melahirkan barisan terbaik dari peringkat pelapis ke pasukan utama," tambah Ahmad Razif.

Untuk rekod, peralihan kuasa kerajaan negeri Terengganu menyaksikan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, menjadi individu pertama berundur dari kerusi timbalan presiden 1 PBSNT, Mei lalu.