Ketua Jurulatih Felda United FC, B Sathianathan, secara terbuka, mengkritik keadaan padang Stadium Sultan Muhammad Ke- IV yang disifatkannya teruk dan menjejaskan prestasi permainan kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Super, semalam.

Katanya, biarpun menerima keputusan seri 1-1 dengan skuad tuan rumah, The Red Warriors (TRW) tetapi dia mahukan pihak berwajib yang menjaga pengurusan stadium perlu bertanggungjawab memastikan kualiti padang berada pada tahap yang terbaik sebelum sesuatu perlawanan dilangsungkan.

“Tolonglah (baiki padang), saya ingat kalau anda bawa lembu ke sini pun susah. Macam gaya permainan Kelantan ini lebih kepada bertukar-tukar hantaran pendek tetapi kalau ada padang seperti ini susahlah nak main. Sekarang, saya tahu kenapa Kelantan selalu sahaja kalah di sini.

“Saya bukan apa, okeylah Felda United nombor empat tetapi sayanglah Kelantan, ada pemain bagus tetapi padang tidak sesuai dengan gaya permainan mereka. Saya ingat dalam tempoh lima minggu ini, jika mereka baiki padang, Kelantan boleh bermain lebih cantik daripada apa yang ditunjukkan sekarang,” katanya.

Selain daripada kualiti padang yang teruk, B Sathianathan juga menyifatkan faktor keletihan pemainnya akibat jadual perlawanan yang padat menjejaskan harapan The Fighters untuk mengutip mata penuh di Kota Bharu.

“Sekarang saya tak boleh salahkan pemain walaupun kita bermain teruk. Dapat satu mata pun untunglah. Thiago Augusto (Fernandes) tak boleh lari dah, Ifedayo (Olusegun) pun buat hantaran tak sampai. Mula-mula saya ingat nak beri cuti sembilan hari tetapi nampaknya kena beri sepuluh harilah,” katanya.

Ditanya mengenai sasaran Felda United dalam Liga Super musim ini, jurulatih berusia 59 tahun itu mengakui The Fighters mampu berada dalam empat kelompok teratas.

“Saya yakin kami mampu menamatkan saingan Liga Super musim ini dengan berada dalam kelompok empat pasukan terbaik. Kalaulah, kami mempunyai lebihan pemain yang berkualiti, mungkin saya boleh gilirkan pemain dan keputusan mungkin berbeza,” katanya.

Dalam aksi menarik malam tadi, Felda United bermula garang dan berjaya mendapatkan gol pertama melalui rembatan kencang penyerang import, Ifedayo Olusegun pada minit ke-24.

Seminit kemudian, penyerang kontroversi TRW, Alessandro Celin berjaya menggembirakan penyokong tuan rumah melalui rembatan kencang untuk jaringan penyamaan.

Keputusan seri ini meletakkan Felda United di tangga keempat carta Liga Super dengan 30 mata, hasil daripada lapan kemenangan, enam seri dan lima kali kalah.