Sikap segelintir anggota skuad Terengganu FC (TFC) yang bermain tarik tali untuk kekal atau sebaliknya dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan diberi pesanan khas oleh ketua jurulatih mereka, Irfan Bakti Abu Salim.

Menurutnya, mereka diberi kebebasan memilih haluan masing-masing sekiranya berhasrat bertukar angin ke pasukan baru yang menawarkan kontrak lebih lumayan.

Bagi Irfan, tindakan itu tidak akan menjejaskan perancangannya mempersiapkan pasukan TFC dengan tempoh pendaftaran pemain akan mula dibuka 29 November ini.

"Kepada pemain-pemain yang masih jual mahal, saya tak kisah. Yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti," ujar jurulatih berpengalaman itu.

Dalam pada itu, Irfan turut mengesahkan TFC akan mengekalkan khidmat trio import mereka, Lee Tuck, Thierry Chantha Bin dan Igor Zonjic.

Turut memperkuatkan barisan pemain Sang Penyu adalah beberapa pemain lagi, termasuk bekas anak didiknya daripada Felda United.

Status penyerang berbisa, Kipre Tchetche, masih samar dengan Irfan mengesahkan rundingan masih berjalan dengan ejen pemain kelahiran Ivory Coast itu.

"Beberapa pemain tempatan sudah ditandatangani untuk mempersiapkan pasukan menghadapi musim 2019 yang mencabar.

"Lee Tuck, Thierry dan Igor masih kekal bersama kami. Khabar angin mengaitkan bekas pemain saya di Felda United juga betul," jelas Irfan.