Partiban selesa dengan corak taktikal Durakovic 

Oleh Staff Writer 6 Julai 2019 2415
Partiban selesa dengan corak taktikal Durakovic 
Pemain sayap Perak, J. Partiban, sedia memainkan peranan pemusnah sekali lagi apabila pasukannya melayani kunjungan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam pertembungan Liga Super di Stadium Perak, malam ini. 

Nama Partiban semakin meniti di bibir peminat The Bos Gaurus selepas menjadi antara tonggak utama kebangkitan Perak ketika menentang Pahang dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA, Sabtu lalu, selain turut meledak satu gol.

Partiban kini diangkat sebagai penerus legasi jolokan "Kinta Ekspress" sebaris dengan nama legenda seperti P. Ravindran dan M. Nagarajah yang mempunyai larian kencang.

Dia juga sudah semakin selesa berbanding kemasukannya pada awal musim ini yang menyaksikan pemain itu menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan posisi berbanding peranannya sebagai pemain tengah di Terengganu, musim lalu.

"Itu label yang diberikan penyokong tetapi saya hanya melaksanakan tugas di atas padang seperti yang diarah jurulatih (Mehmet Durakovic). 

"Saya tidak begitu mengambil pusing tanggapan yang diberikan penyokong demi mengelak tekanan kepada diri sendiri. 

"Saya mahu bermain seperti biasa kerana kalau terlalu memikirkannya, saya bimbang tahap keyakinan berubah. Jadi, lebih baik saya fokus kepada permainan sendiri," katanya. 

Pemain berusia 27 tahun itu juga yakin mampu untuk mencalar ego Harimau Selatan di laman sendiri dalam usaha membalas semula kekalahan tipis 0-1 dalam aksi Piala Sumbangsih di Larkin, awal musim ini.

"Pada awal kehadiran, saya belum memahami corak permainan Perak, begitu juga dengan rakan sepasukan.

"Sebaik saya mendapat rentak, barulah saya boleh mengikut corak permainan yang Perak amalkan," katanya lagi.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen