Skuad Tok Gajah yakin peluang masih berpihak kepada mereka untuk bergelar naib juara Liga Super musim ini dengan saingan berbaki dua perlawanan.

Menurut penolong jurulatihnya, Ahmad Shaharuddin Rosdi, aksi bertemu Felda United dan Melaka United di Kuantan akan menjadi kelebihan buat pasukannya.

Hanya satu kemenangan lagi diperlukan Pahang yang memungut 37 mata -- lima mata di depan pasukan tangga ketiga, Kedah -- untuk bergelar naib juara.

"Saya sendiri akan pastikan pemain-pemain tidak melepaskan peluang (naib juara) dalam dua perlawanan terakhir nanti," jelasnya.

Terdahulu, Pahang mensia-siakan peluang untuk bergelar naib juara lebih awal selepas terikat 1-1 dengan Terengganu FC (TFC) di Kuala Terengganu, malam tadi.

Gol penyamaan Mohamadou Sumareh pada minit ke-50 memadai buat Pahang memadam kelebihan TFC yang dijaringkan Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-42.

Sudah menjangkakan aksi sengit 'derby' Pantai Timur itu, satu mata diraih sudah memenuhi sasaran Pahang di tempat lawan yang turun tanpa dua tonggak serangannya.

"Kami banyak bergantung kepada (Dickson) Nwakaeme serta Norshahrul (Idlan Talaha) dan malam ini, (semalam) saya buat sedikit pertukaran.

"Saya lihat kami berjaya walaupun ketiadaan mereka yang tercedera," kata penolong jurulatih itu lagi.