Pahang terus mencabar Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perebutan gelaran juara Liga Super apabila bangkit untuk mengatasi PKNS 2-1 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Aksi yang berlangsung di Stadium Shah Alam menyaksikan kedua-dua pasukan menurunkan barisan terbaik dalam melunas misi masing-masing.

Kelebihan beraksi di laman sendiri mahu dimanfaatkan PKNS dan gol pembukaan terhasil pada minit ke-13 apabila Zarif Irfan bijak melakukan lorongan kepada Chan Vathanaka untuk menyudahkannya.

Skuad Tok Gajah tidak membiarkan jaringan itu melemahkan semangat mereka dan berjaya mengikat kedudukan pada minit ke-24, hantaran silang Mohamadou Sumareh tiada masalah disudahkan oleh Dickson Nwakaeme walaupun dikawal ketat pertahanan PKNS -- sekaligus merekod gol kelima peribadi musim ini.

Kedua-dua pasukan terus mengasak mencari tambahan jaringan sejurus perlawanan bersambung dalam separuh masa kedua dan pada minit ke-76, Ze Eduardo berjaya meraih jaringan kedua buat Pahang selepas berlaku kekalutan di hadapan gawang PKNS.

Gol tersebut cukup untuk memberikan Pahang kemenangan keenam liga, sekali gus terus menekan JDT di tangga teratas liga.