"Tempoh berbulan madu sudah berakhir," itu peringatan pertahanan Pahang, Bunyamin Umar, yang menyeru rakan sepasukan kembali menunjukkan reputasi mereka selaku juara Piala FA apabila bertemu pasukan penuh berpengalaman seperti PKNS, esok.

Sejak menjuarai Piala FA, Pahang gagal menemui rentak terbaik dalam tiga perlawanan Liga Super.

Mencatatkan keputusan seri ketika bertemu Melaka, Perak dan PKNP, peluang mereka untuk mengakhiri saingan di tangga kedua kini dilihat semakin samar.

Bunyamin menggesa rakan sepasukannya supaya mencipta kemenangan ketika berdepan PKNS dalam aksi seterusnya.

"Kami agak khuatir kerana sebagai juara Piala FA, aksi Liga Super adalah penting dan kami akan berusaha mencari kemenangan," katanya.

Pertahanan berusia 30 tahun itu turut berjanji memastikan gawang Pahang tidak dibolosi dalam usaha skuad Tok Gajah meraih tiga mata di Stadium Darulmakmur.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada jurulatih, Dollah Salleh, yang memberikan saya kepercayaan beraksi sebagai pertahanan. Saya tidak kisah bergandingan dengan mana-mana pemain kerana keutamaan kami adalah mencipta kemenangan."