Pahang sekadar mengutip satu mata apabila mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan Perak pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur malam tadi.

Kedua-dua pasukan juga lebih banyak beraksi secara berhati-hati dengan hanya sesekali menguji benteng pertahanan lawan.

Di minit ke-27, tuan rumah cuba mencipta gol awal menerusi kapten pasukan, Matthew Thomas Davies, yang merembat dari dalam kotak penalti ke arah gawang Perak.

Bagaimanapun, cubaan itu berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol Perak, Khairul Amri Salehuddin.

Dalam separuh masa kedua, skuad Tok Gajah berusaha menggandakan serangan sehingga memaksa The Boss Gaurus bekerja lebih keras mempertahankan kubu mereka.

Peluang terbaik tuan rumah diperolehi pada minit ke-53 melalui penyerang import, Saddil Ramdani, yang melepaskan sepakan kencang ke arah pintu gol Perak tetapi malangnya ia sedikit melepasi palang.

Saddil sekali lagi melakukan mencuba ketika keadaan kelam kabut dalam kotak penalti Perak di minit ke-89, namun sepakan deras dilakukannya hanya melewati gawang.

Pahang kini menduduki tangga kedua liga di belakang JDT dengan 26 mata manakala Perak di tangga keenam dengan 18 mata selepas 14 perlawanan.

-- BERNAMA

Kredit foto: Facebook Pahang FA