Perebutan sebagai pendahulu Liga Super bertukar lebih 'panas' hujung minggu ini apabila dua pasukan teratas, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pahang, berentap untuk menentukan juara pusingan pertama liga.

Pertemuan dua musuh ketat, JDT dan Pahang, bakal mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air susulan kedua-dua pasukan itu sedang bersaing sengit di puncak liga.

Memasuki aksi terakhir pusingan pertama, Harimau Selatan berkelebihan dua mata ke atas Tok Gajah dengan kedua-dua pasukan cemerlang menerusi rekod tanpa kalah dalam 10 perlawanan liga.

Situasi itu meletakkan baik JDT mahupun Pahang di kedudukan seimbang untuk memenangi pertemuan Ahad ini sungguhpun Tok Gajah akan turun selaku tuan rumah.

"Kelebihan mestilah menjurus kepada Pahang tetapi saya berasakan pertemuan ini mustahak untuk kedua-dua pasukan.

"Masing-masing ingin mengekalkan rekod tanpa kalah dan JDT pasti ingin kekal di persada liga," kata bekas jurulatih Pahang, Razip Ismail.

Senario semasa menyaksikan barisan pemain JDT sedikit kepenatan ekoran komitmen dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) berbanding lawan yang dijangka lebih segar menjelang pertemuan di Stadium Darulmakmur, Kuantan, itu.

Namun, situasi juga sebenarnya tidak memihak skuad bimbingan Dollah Salleh berikutan tonggak utama, Dickson Nwakaeme, dihimpit kecederaan hamstring.

"Dickson Nwakaeme adalah tonggak utama pasukan Pahang dan ketiadaannya pasti menjejaskan pasukan.

"Tetapi saya berasakan Dollah mempunyai percaturan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Dickson," kata penganalisis bola sepak, Reduan Abdullah.