Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) mengucapkan terima kasih kepada pentadbir Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), atas persetujuan menunda tarikh perlawanan Liga Super di antara Perak dan Kuala Lumpur di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras esok ke satu tarikh baru.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menyatakan penghargaan kepada pihak terbabit kerana memberi pertimbangan terhadap permohonan Perak walaupun dibuat dalam tempoh singkat.

"PAFA mengucapkan terima kasih. Dengan ini dapatlah kami menumpukan perhatian kepada perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Korea Selatan (Selasa ini)," ujarnya.

Katanya, PAFA mengemukakan permohonan berkenaan pada jam 11.10 pagi semalam memandangkan jadual ketat The Bos Gaurus yang turut terbabit dalam pusingan ketiga kelayakan ACL.

Perak melepasi pusingan kedua kelayakan selepas menumpaskan wakil Hong Kong, Kitchee SC, 6-5 melalui penentuan penalti di Stadium Perak, kelmarin.

Perlawanan seterusnya ialah bertemu wakil Korea Selatan, Ulsan Hyundai, di gelanggang lawan Selasa ini.

Justeru, PAFA ingin menyatakan permohonan maaf secara terbuka di atas kenyataan awal daripada pihaknya yang menyatakan MFL telah menolak permohonan itu.

"PAFA mengambil maklum MFL perlu melalui proses-proses tertentu, termasuk mendapatkan persetujuan bersama pihak Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dan kelulusan ahli lembaga pengarah MFL sebelum meluluskan permohonan ini," kata Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak.

Beliau menafikan PAFA mendakwa MFL tidak melayan permohonan berkenaan seperti yang dilaporkan dalam tajuk berita beberapa portal berita.