Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) perlu bertindak segera bagi mengatasi sebarang kemelut yang sedang melanda pasukan itu dalam kancah Liga Super 2019.

Presiden PAFA merangkap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, perlu mengadakan segera 'pembedahan' untuk mencari kemungkinan wujud 'masalah' dalaman atau perasaan tidak puas hati di kalangan pemain.

Agak aneh bagi sebuah pasukan yang muncul juara Piala Malaysia serta naib juara Liga Super 2018 beberapa bulan lalu kini berlegar dalam kelompok bawahan.

Dengan hanya satu kemenangan, seri enam dan kalah dua, Perak yang mengumpul sembilan mata kini menduduki kedudukan kesembilan liga 12 pasukan itu.

Ketika ini peminat dan pengkritik bola sepak tertanya-tanya apa yang menimpa Perak yang bagaikan hilang sengat dan taring dalam setiap perlawanan sehingga nyaris diaibkan pasukan dari Liga M4, Jerantut FA, dalam saingan pusingan ketiga Piala FA baru-baru ini.

Masalah utama Perak ialah ketiadaan penyudah walaupun mencipta banyak peluang serta bermain cantik.

Pemain-pemain seperi Gilmar Jose Da Silva, Wander Luiz dan Nor Hakim Hassan tampak bergelut mencari sentuhan pemusnah.

Di atas kertas, Perak sepatutnya tidak melalui kesukaran kerana menampilkan hampir semua pemain dan jurulatih musim lalu.

Kecuali muka baru, Zac Anderson dan J. Partiban, pemain-pemain lain adalah muka lama dan sudah bermain bersama agak lama.

Mereka sepatutnya sudah masak dengan sistem dan corak permainan yang diinginkan jurulatih, Mehmet Durakovic.

Justeru, tugas Durakovic sepatutnya mudah kerana hanya perlu melakukan 'sentuhan' bagi menggilap prestasi anak buahnya.

Mustahil prestasi menjunam Perak musim ini disebabkan kemasukan dua muka baru itu.

Walaupun masih terlalu awal untuk membuat andaian dan tanggapan buruk tentang pasukan bergelar The Bos Gaurus itu, prestasi hambar pasukan itu ketika ini meresahkan penyokong setia pasukan.

Justeru, presiden dan ahli majlis PAFA perlu segera duduk semeja bagi mengelak sebarang virus yang baru berputik menjadi kanser yang sukar dirawat akhirnya.

Ahmad Faizal sudah tentu tidak mahu dipersalahkan sendainya Perak turun ke Liga Perdana pada 2020 nanti.

Jika itu berlaku, ia sudah tentu satu catatan sejarah buat Perak yang belum pernah tersingkir darpadai Liga Super sejak pengenalannya pada 2004.