Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) menafikan kehendak memburu penyerang kelahiran Singapura, Khairul Amri Mohammad Kamal, sebaliknya menjadikan Faris Ramli sebagai sasaran untuk jendela perpindahan kedua Liga Super.

Selepas Felda United menjelaskan minat mereka untuk memburu khidmat Khairul Amri dan dalam masa sama, pengendali Perak, Mehmet Durakovic, dikatakan turut berminat untuk mendapatkan sentuhannya.

Setiausaha Kehormat Persatuan PAFA, Tajul Hasnan Omar, menjelaskan pihaknya sudah pun mengadakan perbincangan dengan pemain kelab Hougang United, Faris.

Perak berhasrat untuk membawa masuk bekas pemain import PKNS FC berkenaan bagi memperkuatkan jentera serangan setelah mereka bergelut untuk mencetak kemenangan musim ini.

Malah, juara Piala Malaysia 2018 itu juga dikhabarkan mahu menggugurkan khidmat penyerang import, Gilmar Da Silva, ekoran krisis prestasi.

"Kami menginginkan khidmatnya kerana kuota pemain import kami masih ada satu kekosongan.

"Selepas diselidik, Faris Ramli sesuai dengan corak permainan kami," kata Tajul.

Faris bakal menyertai skuad The Bos Gaurus menerusi kuota pemain import ASEAN.

Perak yang sekadar meraih dua kemenangan kini menghuni tangga kelapan Liga Super dan akan bertemu PKNP FC untuk aksi suku akhir kedua Piala FA, Sabtu ini.