Selangor melupakan ancaman untuk menarik diri daripada saingan Liga Malaysia 2017 selepas barisan exco Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) melantik semula P. Maniam untuk menerajui The Red Giants musim depan.

Kata putus yang dicapai dalam mesyuarat ringkas membabitkan exco FAS, menetapkan Maniam bakal sekali lagi mengemudi Selangor selepas menandatangani kontrak selama setahun berkuat kuasa hari ini.

Perlantikan itu sekaligus menafikan dakwaan kononnya Selangor bakal menarik diri daripada saingan Liga Malaysia musim depan.

"Selangor telah melantik P. Maniam selaku ketua jurulatih. Ini kerana dia memiliki lesen kejurulatihan profesional dan atas dasar itu, kami melantiknya semula," jelas Setiausaha Kehormat FAS, Rosman Ibrahim.

Ditanya mengenai peruntukan dana tahun hadapan, Rosman menegaskan akaun semasa FAS hanya cukup untuk perbelanjaan sehingga Februari 2017 dan selebihnya akan diuruskan menerusi proses penajaan yang masih cuba diusahakan Exco FAS.

Mengulas kemelut yang melanda FAS ketika ini, Rosman tidak berselindung menuding jari kepada bekas pengurus Selangor, Amiruddin Shaari, yang didakwanya menjadi punca utama.

"Bukannya mahu menyalahkan sesiapa tetapi orang yang baru masuk, belajarlah daripada kita.

"Tetapi baru sampai setahun sudah pandai, susahlah.

"Exco adalah orang yang tepat dalam bola sepak. Bila masalah ini berlaku? Isu ini berlaku pada tahun 2016. Siapa yang baru masuk ketika itu? Perkara sebegini perlu dilihat terlebih dahulu," tambahnya.