PAHANG 3 TERENGGANU 0

Dickson Nwakaeme terus mencuri perhatian ketika membantu Pahang meneruskan rentak kemenangan dalam aksi kedua Liga Super 2019 apabila menjinakkan Terengganu 3-0 di Stadium Darulmakmur, Kuantan, sebentar tadi.


Selepas membenam Kuala Lumpur 3-1 minggu lalu, giliran Sang Penyu diratah Pahang untuk mengutip tiga mata untuk kekal di persada liga manakala Terengganu bimbingan Irfan Bakti Abu Salim terus kempunan untuk melakar kemenangan sulung musim ini.

Tuan rumah, yang dikalahkan dua kali di tempat sendiri musim lalu, tidak menunggu lama untuk melancarkan serangan dan Mohamadou Sumareh memaksa Wan Azraie Wan Teh untuk membuat aksi menyelamat yang berani.

Namun, gawang kawalannya dirobek jua oleh Nwakaeme yang melakukan terpaan untuk menyudahkan hantaran silang Sumareh pada minit ke-13.

Sepakan percuma Ze Eduardo atau lebih dikenali sebagai Ze Love menggegar palang untuk mengakhiri aksi menarik separuh masa pertama yang dibayangi kecederaan Wan Azraie.

Tok Gajah meneruskan momentum rentak tetapi Ze Love gagal mengambil kesempatan untuk menamatkan kemarau jaringan apabila melakukan percubaannya pada minit ke-57 tepat ke arah penjaga gol gantian, Ilham Amirullah Razali.

Empat minit selepas itu, pertahanan Pahang, Herold Goulon, menanduk kemas sepakan penjuru Saddil Ramdani untuk melebarkan kedudukan 2-0.

Ilham, yang beberapa kali perlu menerima rawatan akibat kecederaan, bagaimanapun beberapa kali bertindak cemerlang untuk mematahkan serangan skuad kendalian Dollah Salleh itu, namun akhirnya terpaksa akur apabila gerakan Nwakaeme mengucar-ngacirkan barisan pertahanan sebelum melorongkan bola untuk disudahkan Norshahrul Idlan Talaha yang dimasukkan dalam 10 minit terakhir permainan.

Keputusan lain:

PETALING JAYA CITY FC 1 SELANGOR 1

PKNS FC 0 MELAKA UNITED 1

Liga Perdana:

​SARAWAK 2 P PINANG 0

PDRM 1 NEGERI SEMBILAN 1

JDT II 2 UKM FC 1