Pemain tengah Selangor, Nurridzuan Abu Hassan, memohon maaf secara terbuka kepada penyokong Perak susulan tindakannya menunjukkan isyarat lucah dalam aksi Liga Super, Jumaat lalu.

Bekas pemain Perak, Nurridzuan, melakukan tindakan itu selepas diarahkan keluar padang dalam separuh masa kedua di Stadium Shah Alam.

Bekas pemain skuad B-23 kebangsaan itu menunjukkan isyarat lucah kepada penyokong Perak sewaktu dalam perjalanan menuju ke bilik persalinan.

Tindakan itu mengundang kritikan perlbagai pihak, terutama penyokong skuad The Bos Gaurus itu yang bertandang ke Shah Alam.

Bagaimanapun, Nurridzuan tampil untuk melakukan permohonan maaf secara terbuka di Padang Latihan SUK, hari ini.

"Saya memohon maaf kepada penyokong Perak kerana seperti yang mereka katakan, saya tidak menghormati pasukan yang pernah saya wakili sebelum ini.

"Namun, bagi saya, jika kita mahu orang lain menghormati kita, kita perlu menghormati orang lain terlebih dahulu.

"Jika mereka menghargai saya kerana pernah mewakili Perak, mereka tidak akan mengejek saya seperti itu.

"Bagaimanapun, saya menganggap ia sebagai perkara biasa cuma mereka sedikit-sebanyak perlu menghargai saya," katanya.