Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustafa, menempelak ahli gabungan persatuan itu yang gagal menjawab surat tunjuk sebab selepas didakwa melanggar Artikel 64 perlembagaan KLFA.

Menerusi sidang media yang kononnya mewakili 16 ahli gabungan yang tidak berpuas hati dengan KLFA, ia jelas mencabar dan tidak menghormati perlembagaan persatuan berkenaan.

Nokman berang dengan tindakan pihak berkenaan dan melontarkan persoalan tentang mengapa mereka begitu takut untuk menjawab surat tunjuk sebab yang bertarikh 3 Mei lalu itu.

Lebih mengeruhkan keadaan apabila pihak berkenaan lebih memilih mengadakan sidang media, minggu lalu.

"Ia kebanyakannya kepada individu yang telah memburukkan dan menjatuhkan KLFA.

"Saya tidak tahu apa masalah mereka tetapi yang memburukkan KLFA bukan kami tetapi mereka.

"Kumpulan itu yang menjatuhkan KLFA sebab mereka yang membuat laporan yang tidak betul.

"Surat yang dihantar juga menipu.

"Mereka mengatakan sudah menghantar surat kepada KLFA tetapi sebenarnya tidak.

"Mereka terus menghantarnya kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"PJS juga terpengaruh dengan mereka," katanya.

Tegas Nokman, pihaknya masih memberikan peluang buat pihak yang terlibat dengan memanjangkan tempoh untuk memberikan balasan selama seminggu lagi.

"Mengenai pencalonan, ia tiada masalah kerana kami boleh mengadakannya semula.

"Tetapi janganlah mempertikaikan perkara yang tidak betul.

"Apabila kami mempertikaikan tentang masalah mereka, mereka tidak menjawab surat itu.

"Jadi ia tidak adil untuk KLFA," tambahnya.