Nik Shahrul yakin buat keputusan tepat

Oleh Staff Writer 20 Mei 2018 7056
Nik Shahrul yakin buat keputusan tepat
Pemain pertahanan baru PKNS FC, Nik Shahrul Azim Abdul Halim, mengakui pengendali kelab, Datuk K. Rajagobal, adalah faktor utama untuknya mengambil keputusan berhijrah dari Kelantan.

Nik Shahrul kini menjadi pemain terbaru PKNS FC dalam jendela perpindahan kedua Liga Malaysia yang dibuka sejak 7 Mei lalu sehingga 3 Jun ini.

Bagi pemain kelahiran Rantau Panjang itu, bukan mudah untuknya meninggalkan Kelantan, namun kehadiran Rajagobal menguatkan keyakinannya untuk bertekad dan optimis penghijrahan ke PKNS mampu memberi kesan positif buat kerjayanya.

"Jurulatih juga ada bercakap dengan saya beberapa kali untuk membawa saya ke PKNS tetapi pada awal musim, saya masih terikat dengan kontrak.

"Terima kasih kepada skuad Kelantan kerana melepaskan saya untuk menimba ilmu bersama PKNS," kata Nik Shahrul.

Dalam masa sama, Rajagobal menyifatkan kemasukan Nik Shahrul sebagai tambahan ramuan buatnya untuk membentuk gandingan pertahanan yang lebih ampuh.

Rajagobal turut percaya Nik Shahrul tidak akan berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan PKNS.

"Saya pernah membawanya ketika mengendalikan skuad kebangsaan, jadi saya rasa tidak wujud sebarang masalah untuk dia menyesuaikan diri bersama pasukan PKNS," ujar Rajagobal.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen