Pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusyidin Abdul Rashid, mengakui pasukannya berminat untuk melamar tonggak pertahanan Kelantan, Nik Shahrul Azim Abdul Halim, yang sedia dilepaskan skuad The Red Warriors dalam jendela kedua perpindahan pemain Liga Malaysia ini.

Nik Shahrul muncul pemain terbaru yang dicanang akan dilepaskan Kelantan selepas penjaga gol, Mohamad Ramadhan Abdul Hamid, dan tiga pemain import, Mohammed Ghaddar, Do Dong-hyun dan Morgaro Gomis.

Ia susulan terdapat lamaran daripada beberapa pasukan Liga Super terhadap pertahanan itu sebaik jendela kedua perpindahan Liga Malaysia dibuka 7 Mei lalu.

Antara pasukan yang dikaitkan mahu mendapatkan khidmat Nik Shahrul ialah PKNS.

Ketika diminta mengulas mengenai perkara itu, ini reaksi Mahfizul: "Saya rasa pihak media sudah dinyatakan bahawa dia antara pemain yang dipancing oleh beberapa pasukan. PKNS mengesahkan bahawa ada rundingan dibuat.

"Kami tidak boleh sahkan perkembangan sebenar kerana menunggu jawapan daripada kedua-dua pihak bagi menyelesaikan perkara itu."

Skuad PKNS tampak longgar di beberapa posisi pertahanan dan sememangnya kehadiran Nik Shahrul mampu menguatkan lagi benteng akhir pasukan itu bagi mengharungi baki saingan musim ini.

Sementara itu, Mahfizul juga tidak menolak kemungkinan akan ada pemain import digugurkan selain beberapa pemain tempatan terpaksa dipinjamkan ke pasukan lain dalam tempoh perpindahan pemain ketika ini.