Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Syaiful Alias bakal menjadi tonik tambahan buat skuad Kelantan dalam pertemuan dengan juara lima kali Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), apabila kedua-dua pasukan bertembung malam ini.

Kedua-dua pemain itu kembali melaporkan diri bersama The Red Warriors (TRW), Isnin lalu, setelah pulang daripada tugasan kebangsaan dengan menjuarai Kejohanan AFF B-19 di Surabaya, Indonesia, minggu lalu.

Kini, mereka perlu membawa momentum kejayaan bersama skuad B-19 Malaysia bersama Kelantan berikutan skuad TRW terdesak memerlukan mata bagi mengelakkan tersingkir daripada Liga Super musim depan.

"Insya-Allah, kalau saya diberi peluang, saya akan buat yang terbaik.

"Saya akan gunakan pengalaman di bawah tunjuk ajar Bojan Hodak untuk perlawanan ini nanti," kata Nik Akif.

Syaiful, yang juga bertindak sebagai ketua pasukan dalam kempen Kejohanan AFF B-19 lalu berkata: "Kami akan buat sehabis baik untuk mencari tiga mata.

"Tidak mustahil untuk kami mencatat kemenangan."

Ia tugasan yang dianggap mencabar bagi Kelantan tatkala tuan rumah, JDT, akan diraikan dalam majlis penyerahan trofi Liga Super buat kali kelima berturut-turut di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Bagaimanapun, pemangku jurulatih kelantan, Yusri Che Lah, masih perlu menilai tahap kecergasan dua pemain tersebut sebelum menamakan kesebelasan terbaik menentang Harimau Selatan.

"Mereka juga teruja untuk membantu pasukan negeri selepas beraksi baik bersama pasukan kebangsaan dalam Kejohanan AFF B-19 tempoh hari.

"Namun, hakikatnya saya masih tidak dapat menamakan kesebelasan utama kerana belum menilai keseluruhan pemain yang ada hari ini kerana rata-rata menunjukkan permainan yang cukup baik dan bersemangat dalam perlawanan terdahulu," ujar Yusri.