Peminat setia Kelantan boleh menarik nafas lega apabila pemain tengah kreatif, Nik Akif Syahiran Nik Mat, memutuskan untuk kekal bersama The Red Warriors (TRW) musim depan.

Kebimbangan peminat bermula apabila Nik Akif dikatakan mendapat tawaran daripada empat pasukan tempatan dan sebuah kelab dari Thailand yang berminat menggunakan khidmatnya.

Keputusan Nik Akif itu penting kepada TRW yang gagal menyinar musim ini apabila sekadar menduduki tangga ke-11 Liga Super dan tersingkir dalam perebutan tempat ke separuh akhir Piala Malaysia kepada Sabah.

"Saya akan kekal bersama pasukan Kelantan musim depan kerana mahu mahu menebus semula kekecewaan musim ini apabila kami tersingkir ke Liga Perdana.

"Saya ingin mengembalikan Kelantan ke Liga Super musim berikutnya sebagai membalas jasa pihak pengurusan dan penyokong yang berdiri teguh di belakang kami sepanjang musim ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nik Akif juga mahu menggunakan pengalaman ketika beraksi bersama skuad bawah 23 tahun negara dalam membantu pasukan bawah 19 tahun kebangsaan menghadapi Kejohanan AFC Bawah 19 Tahun di Indonesia, bermula 18 Oktober ini.

"Satu tugas yang berat selepas dipanggil jurulatih, Bojan Hodak untuk tugasan di Indonesia.

"Saya berjanji akan menggunakan segala pengalaman bersama skuad bawah 23 untuk pasukan bawah 19 tahun ini.

"Ini peluang terbaik saya untuk meningkatkan prestasi di pentas antarabangsa selain saingan domestik," tambahnya.