Pemain tengah Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat, berharap benteng pertahanan yang diketuai Cassio de Jesus dan awang import baharu, Alaeddine Bouslimi, mampu merantai pergerakan penyerang lincah Kuala Lumpur, Guilherme de Paula, dalam Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam esok.

Katanya, kelibat penyerang kelahiran Brazil itu, jika tidak dihalang, mampu memberi banyak masalah kepada benteng The Red Warriors (TRW), terutama dalam usaha bangkit daripada kekalahan 1-2 kepada PKNP FC baru-baru ini.

“Ketika, kami menang 4-2 dalam pusingan pertama di Kota Bharu, Guilherme tidak beraksi akibat penggantungan.

“Dia kembali menemui sentuhan jaringan apabila menjaringkan gol kedua Kuala Lumpur ketika bertemu PKNS FC.

“Kami perlu merantai pergerakan lincahnya dan harap Cassio dan import baharu (Alaeddine) dapat melakukan sesuatu,” katanya.

Nik Akif yang juga tonggak muda skuad B-23 negara, mengakui pengalaman beraksi kali pertama dalam bulan Ramadan cukup mencabar tetapi berjanji akan melakukan yang terbaik demi membantu TRW keluar daripada zon penyingkiran.

“Sedikit mencabar dan penat kerana terpaksa menjaga pemakanan dan rehat pula tidak seperti biasa.

“Sebagai pemain profesional, itu bukanlah masalah besar dan kami semua bertekad untuk memberikan aksi terbaik,” katanya.

Untuk rekod, Kelantan menduduki tangga kedua tercorot dalam carta Liga Super dengan lapan mata hasil dua kemenangan dan dua kali seri.