Ketua jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adha Yusof, mendedahkan pertukaran taktikal daripada permainan terbuka kepada lebih bertahan membantu Kedah mengatasi Kelantan 1-0
dalam saingan Liga Super di Stadium Darulaman, malam tadi.


Katanya, biarpun sekadar menang tipis, ia cukup bermakna dalam usaha Lang Merah menamatkan badi dua kekalahan berturut-turut di gelanggang sendiri.

"Perubahan taktikal permainan dirancang bagi menyekat keupayaan Kelantan yang menyerang secara pantas melalui kedua-dua pemain sayap.

"Berbanding pertemuan pertama (Selasa lalu), kami lebih utamakan disiplin di barisan pertahanan dan menguasai bola di kawasan tengah.

"Hasilnya, kami berjaya bertahan dan menyerang dengan baik dan Alhamdulillah, tiga mata berjaya dikutip," katanya.

Ditanya keupayaan penjaga gol muda, Mohamad Ramadhan Abd Hamid, yang kali pertama diturunkan, Nidzam jelas berpuas hati, terutama semasa menyelamatkan sepakan kencang Nik Akif Syahiran Nik Mat yang boleh menghasilkan gol penyamaan Kelantan.

"Ramadhan begitu tenang dan cemerlang menjaga gawang Kedah selama 90 minit.

"Harap dia lebih yakin untuk terus membantu Kedah," katanya.

Untuk rekod, Lang Merah berada di tangga keempat carta Liga Super dengan 24 mata hasil daripada tujuh kemenangan dan tiga keputusan seri manakala Kelantan kekal di tangga tercorot dengan 11 mata.