Jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusof, mengakui pasukannya melakukan kesilapan dalam kekalahan 3-1 di tangan Felda United dalam aksi Liga Super di Stadium Darulaman, Alor Setar, semalam.

"Malam ini (semalam), kami bermula perlahan. Selepas itu, ada sedikit kesilapan yang menyebabkan kami melepaskan gol.

"Kami tidak dapat bangkit. Jadi, kami terpaksa akur dengan masalah kekurangan pemain. Kami akan memperbaikinya," katanya.

Kedah tewas buat kali kedua di laman sendiri musim ini ketika turun tanpa beberapa tonggak yang direhatkan.

Pelawat, yang beraksi dengan barisan terkuatnya hanya memerlukan dua minit untuk membuka tirai jaringan apabila sepakan percuma Wan Zack Haikal Wan Nor dari sebelah kanan kawasan Kedah berjaya menewaskan penjaga gol, Farhan Abu Bakar.

Belum sempat skuad Lang Merah bangkit, Felda berjaya meraih gol kedua pada minit ke-18 apabila Thiago Agusto Fernandes berjaya melepasi halangan pertahanan lawan.

Tiga minit kemudian, Ken Ilso merapatkan jurang gol buat Kedah setelah menyudahkan hantaran jauh Liridon Krasniqi.

Felda terus mengukuhkan kedudukan pada separuh masa kedua, sekali lagi menerusi sepakan percuma Wan Zack untuk menamatkan perlawanan 3-1.

"Saya memuji pemain-pemain saya kerana mereka bermain dengan baik. Mereka bermain seperti yang dikehendaki.

"Kami berlatih selama empat hari sebagai persiapan menentang Kedah susulan kekalahan kepada PKNP FC yang menyebabkan moral kami turun. Bukan mudah untuk bermain dengan Kedah," kata jurulatih Felda, B. Sathianathan.