Pengendali Kedah, Nidzam Adzha Yusof, menganggap tindakan tidak bijak daripada Paulo Rangel sehingga dilayangkan kad merah telah menyebabkan rentak pasukannya terganggu dan membawa kepada kekalahan 2-1 di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT), semalam.

Kedah bermula hambar di laman sendiri apabila Gonzalo Cabrera dan Fernando Marquez memberikan kelebihan dua gol buat JDT, namun anak-anak buah Nidzam berpeluang menyamakan kedudukan menerusi dua sepakan penalti.

Penyerang Kedah, Rangel, gagal menyempurnakan sepakan itu tetapi Sandro Da Silva tenang menyepak masuk tendangan penalti kedua.

Bagaimanapun, tindakan Rangel mengasari penjaga gol JDT, Farizal Marlias, menyebabkan dia dilayangkan kad merah, sekali gus membuatkan skuad Hijau Kuning gagal meneruskan kebangkitan sehingga wisel penamat dan Nidzam ternyata tidak mampu menyembunyikan perasaan kecewanya.

"Dalam babak kedua, kami menukar formasi kepada 3-5-2. Sepatutnya, kami menggunakan kesempatan itu tetapi insiden yang boleh disifatkan sebagai kad merah bodoh telah mengganggu rentak kami," ujarnya.

Kedah kini perlu memanfaatkan baki tiga aksi liga, terutama dalam dua perlawanan di laman sendiri, untuk mencerahkan peluang meraih kedudukan kedua dalam saingan Liga Super musim ini.