Negeri Sembilan belum sedia kibar bendera putih

Oleh Staff Writer 20 Jun 2018 525
Negeri Sembilan belum sedia kibar bendera putih
Kekalahan 3-1 kepada Pahang belum membuatkan keyakinan Negeri Sembilan pudar sambil percaya mereka masih berpeluang keluar daripada zon penyingkiran Liga Super dalam baki enam perlawanan yang tinggal untuk memintas pencabar terdekat, PKNP.

Fakta itu berasaskan Negeri Sembilan akan bertemu pasukan kelompok bawahan Liga Super, iaitu PKNP, Selangor, Kuala Lumpur dan Melaka United, dalam empat aksi terakhir.

Menurut jurulatih, Mario Lemos dan ketua pasukan, Nasriq Baharom, tiada istilah sudah mahu mengibarkan bendera putih biarpun mencatatkan kekalahan kali kedua berturut-turut.

Malah, Lemos menuntut anak buahnya agar bangkit daripada keputusan itu untuk memberikan fokus kepada pertemuan dengan Terengganu FC pada 27 Jun ini.

"Jika kami mampu meraih kemenangan ke atas TFC, ia akan memberikan kelebihan kepada kami untuk terus kekal dalam Liga Super," kata Lemos.

"Pasukan yang bakal kami temui berada dalam kelompok bawah liga. Kelebihan berpihak kepada kami beraksi di laman sendiri untuk aksi berdepan Melaka dan PKNP," kata Nasriq.

Jurulatih Pahang, Dollah Salleh, menarik nafas lega kerana boleh mempertaruh kepercayaan terhadap Issey Nakajima Farran dan Norshahrul Idlan Talaha selepas kecederaan yang dialami penyerang utama, Patrick Cruz.

Ini dianggap sebagai satu berita baik menjelang aksi getir separuh akhir pertama Piala FA menentang PKNP di Kuantan, Sabtu ini.

"Inilah perkara yang diharapkan dengan kehadiran Nakajima dan Norshahrul. Di awal permainan, mereka gagal mempamerkan gandingan yang mantap tetapi mula menyesuaikan diri dan membantu pasukan meraih kemenangan," kata Dollah.

Dalam perlawanan di Paroi semalam, Nakajima mencipta dua jaringan buat Pahang sementara satu gol lagi daripada Norshahrul untuk membantu Pahang menang 3-1.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen