Selangor mengakhiri rentetan tujuh perlawanan tanpa kemenangan dalam aksi Liga Super selepas menewaskan PKNP FC 2-0 dibantu jaringan Syahmi Safari dan Amri Yahya untuk melonjak ke tangga kelapan di Stadium Perak, malam tadi.

Meskipun PKNP dan Selangor sudah mengesahkan kedudukan dalam Liga Super musim depan, pertemuan ini tetap penting buat kedua-dua pasukan untuk memburu penamat yang lebih baik musim ini.

Selangor, yang turun dengan misi untuk mengakhiri kemarau kemenangan sejak bulan lalu, memecah kebuntuan pada minit ke-39 apabila hantaran Sean Eugene Selvaraj disudahkan Syahmi.

Mendahului 1-0 dalam separuh masa pertama, Gergasi Merah sepatutnya selesa di depan pada minit ke-57, namun peluang terhidang gagal dimanfaatkan Ilham Udin Armaiyn.

Pada minit ke-64, tuan rumah pula berpeluang untuk meraih jaringan penyamaan tetapi percubaan ketua pasukan, Hafiz Ramdan, tidak menepati sasaran.

Percaturan Selangor memasukkan Amri membuahkan hasil apabila percubaan penyerang berpengalaman itu menerjah jaring daripada hantaran Rufino Segovia pada minit ke-82.

"Pemain telah memberi tekanan, cuma Selangor dapat menyudahkan dua peluang," kata jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim.

Pengendali Selangor, Nazliazmi Nasir, pula memuji barisan anak buahnya dengan berkata: "Saya cukup berpuas hati dengan persembahan pemain yang diturunkan malam ini (tadi), ia barisan yang hampir sama ketika kami menghadapi Melaka United.

"Malah, persembahan ini lebih baik ketika kami menghadapi Melaka dan ini menampakkan petanda positif untuk Selangor bagi perlawanan akan datang."