Nazliazmi: Pemain muda lulus percubaan

Oleh Staff Writer 27 Julai 2018 281
Nazliazmi: Pemain muda lulus percubaan
Jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir, berpendapat barisan baru Selangor telah lulus ujian untuk membarisi skuad utama pasukan itu selepas mereka melakar kemenangan 2-0 ke atas PKNP FC, semalam.

Nazliazmi sekali lagi memberi peluang kepada beberapa muka baru untuk beraksi dalam kesebelasan utama ketika berdepan PKNP selepas melakukan percaturan sama sewaktu menghadapi Melaka, Sabtu lalu. 

Ia membabitkan pemain-pemain muda, antaranya penjaga gol, Haziq Ridwan, serta pertahanan, Syukri Azman serta Ashmawi Yakin.

Eksperimen Nazliazmi nyata berhasil apabila tiga pemain tersebut menyerlahkan potensi masing-masing ketika pemain muda lain seperti A. Namathevan dan D. Kugan kian matang di atas padang.

"Pemain-pemain muda yang diberi peluang, mempamerkan permainan yang cukup baik dan meyakinkan. Jika dilihat dalam aksi semalam, pemain seperti Syukri dan Haziq tampak begitu baik," katanya.

Walaupun memuji kelibat pemain muda, pengendali itu menegaskan kudrat pemain senior tetap penting buat pasukannya untuk menghadapi kempen Piala Malaysia 2018.

"Secara keseluruhan, kami tidak boleh terlalu bergantung kepada pemain muda. Kemasukan Amri semalam memberi kesan besar. Begitu juga dengan penampilan pemain seperti Razman Roslan dan Halim Zainal.

"Saya harap semua pemain sudah bersedia untuk membolehkan mereka diturunkan bila-bila masa sahaja."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen