Jurulatih Selangor, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir, nyata kecewa dengan tiga pemainnya yang dianggap gagal berfungsi dengan baik selepas skuad Red Giants sekadar seri 1-1 berdepan Perak dalam Liga Super di Stadium Cheras, semalam.

"Kalau kita lihat keseluruhan perlawanan, keputusan itu adil untuk kedua-dua pasukan. Walaupun pada awal perlawanan, kami agak gugup dan lambat untuk menyesuaikan diri.

"Evan Dimas, D. Kugan dan (Mohd) Shahrul (Aizad Zulkufli) tidak dapat berfungsi dengan baik," katanya selepas perlawanan itu.

Kedua-dua pasukan sebelum itu turun untuk memburu keputusan positif, dengan Perak mahu terus merapati Johor Darul Takzim (JDT) di tangga teratas tatkala Selangor mahu mengukuhkan kedudukan liga.

Babak pertama menyaksikan Selangor yang memulakan perlawanan dengan agresif dalam usaha meraih jaringan awal.

Namun, kegagalan menemui sasaran kemudian menyaksikan Perak mula menguasai bahagian tengah .

Hasilnya, Perak berjaya membuka tirai jaringan apabila hantaran lintang Nor Hakim Hasan ditampan Alfonso de la Cruz ke gawangnya sendiri pada minit ke-42 untuk pelawat berada di depan.

Selepas rehat, Selangor mula memperkemaskan permainan dengan melakukan beberapa pertukaran taktikal.

Kemasukan Muhammad Syahmi Safari menggantikan Evan yang kurang berkesan di bahagian tengah turut membolehkan Selangor lebih menguasai babak kedua.

Gol penyamaan yang dicari-cari akhirnya kunjung tiba menerusi sepakan percuma Amri Tahyah pada minit ke-81 untuk menamatkan kedudukan 1-1.

Sementara itu, jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, berkata: "Saya fikir pemain melakukan tugas dengan hebat sepanjang 90 minit.

"Mereka bertahan dengan baik dan kami mencipta banyak peluang. Ya, sekali lagi kami melakukan kesilapan kecil dan ia membuatkan kami keciciran mata."