Pengendali Selangor, Nazliazmi Mohamad Nasir, mengharapkan pemain-pemainnya mampu mengekalkan rentak konsisten apabila berdepan Perak dalam aksi Liga Super, malam ini, dalam usaha untuk terus memperbaiki kedudukan dalam liga.

Bagi Nazliazmi, Selangor tidak boleh berpuas hati dengan kedudukan di tangga kelapan dengan hanya 18 mata kerana usaha memperbaiki kedudukan liga perlu diteruskan.

Jurulatih itu turut percaya Perak tidak akan memberi laluan mudah memandangkan mereka juga mahu terus mengukuhkan kedudukan di tangga kedua liga.

"Perak hadir di sini dalam prestasi baik, apatah lagi menduduki tangga kedua Liga Super.

"Saya menghormati Perak serta jurulatihnya, Mehmet Durakovic, kerana berpengalaman luas dalam Liga Super.

"Seboleh-bolehnya, kami inginkan mata penuh di tempat sendiri," kata Nazliazmi.

Sementara itu, tonggak tengah Perak, Brendan Gan, turut mengakui ia penting buat pasukannya terus melakar kemenangan apabila berdepan Selangor jika mereka mahu terus memberi saingan buat Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perebutan kejuaraan Liga Super.

Namun, pemain kelahiran Australia itu tetap waspada ancaman yang mampu diberikan Selangor, terutama penyerang utamanya, Rufino Segovia.

"Kami mahu memenangi liga, kami akan melakukan segala yang terdaya.

"Buat masa ini, tumpuan kami terarah kepada Selangor. Mereka bukan lawan mudah manakala penyerang mereka, Rufino, meledak gol hampir dalam setiap perlawanan.

"Ia pertembungan sengit dan saya berharap selepas cuti hari raya, kami dapat mencatat kemenangan," kata Brendan.