Jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir, terpaksa mengakui corak permainan Kedah berjaya menguasai pemain Selangor yang gagal beraksi pada tahap terbaik ketika skuad Merah Kuning tewas 0-4 dalam Liga Super di Stadium Darulaman, semalam.

"Pada malam ini (semalam) Selangor bermain di bawah tahap keupayaan sebenar. Ini bukan perlawanan kami yang sebenar.

"Setiap posisi nampak ada kekurangan dan kelonggaran. Daripada segi taktikal, Kedah dapat keluar daripada tekanan kami," katanya.

Bagaimanapun, Nazliazmi menolak dakwaan kesukaran Razman Roslan dan Azzamudin Akil menguasai permainan ekoran terlalu lama tidak beraksi secara kompetitif akibat kecederaan.

"Azman dan Alex (Azzamudin) adalah pemain berpengalaman yang tahu mengawal situasi.

"Sebagai jurulatih, saya juga perlu mengakui perancangan yang dibuat kadang-kadang tidak menjadi. Dan malam ini, saya perlu akui perkara itu," katanya lagi.

Pemain Kedah yang lebih banyak masa rehat kerana tidak terlibat dalam Piala FA dilihat menggunakan kelebihan itu dengan sebaik-baiknya apabila merakamkan kemenangan 4-0.