Bekas calon presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Muhammad Nasir Hamzah, akur dengan pilihan persatuan bolasepak jajahan (PBJ) yang mahukan tokoh perniagaan, Bibi Ramjani Ilias Khan, memimpin persatuan itu dalam kongres pemilihan kali ke-63 di Kota Bharu, semalam.

Muhammad Nasir yang juga bekas naib presiden KAFA menerima kekalahan itu dengan hati terbuka sambil mengharapkan kepimpinan baharu mampu mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak Kelantan.

“Saya terima (kekalahan) ini dengan hati yang terbuka. Tahniah kepada presiden, Bibi Ramjani, dan barisan kepimpinan baharu KAFA.

“Saya harap kepimpinan baharu ini dapat melaksanakan apa yang dijanjikan dalam manifesto dan membawa The Red Warriors (TRW) kembali menjadi sebuah pasukan bola sepak yang hebat,” katanya.

Ditanya mengenai penglibatannya dalam bola sepak Kelantan selepas gagal menjadi presiden, Muhammad Nasir berjanji untuk terus mengikuti perkembangan TRW biarpun tidak seghairah dulu.

“Bola sepak Kelantan tetap menjadi menjadi minat utama. Saya tetap akan mengikuti perkembangannya. Cuma, mungkin tidak sehebat dahulu kerana tidak lagi berada dalam KAFA,” katanya.

Dalam pemilihan yang diadakan sebanyak dua kali, Bibi Ramjani mendapat 32 undi manakala Muhammad Nasir 19 undi. Keputusan mengejut ini membolehkan Bibi Ramjani tampil sebagai presiden wanita pertama yang dipilih mengetuai KAFA.