Nasib tonggak Felcra FC terumbang-ambing

Oleh Staff Writer 18 Oktober 2018 3440
Nasib tonggak Felcra FC terumbang-ambing
Ketua pasukan Felcra FC, Shahrom Kalam, mengharapkan pihak pengurusan Felcra dapat mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak langsung memberi sokongan kewangan kepada pasukan itu dalam mengharungi musim pertama dalam Liga Super musim depan.

Kegembiraan sambutan layak secara merit beraksi dalam saingan Liga Super masih lagi terasa.

Namun, situasi terkini melibatkan status Felcra FC meletakkan barisan pemain bersama jurulatih, Tarcisio Pugliese, dalam keadaan tertanya-tanya memandangkan pengurusan kelab terpaksa berdikari mencari dana.

Situasi sebenar Felcra FC perlu diberikan penjelasan agar pemain mahupun jurulatih sekurang-kurangnya boleh mencari pelan kedua untuk keluar daripada kemelut ini.

"Kami perlu tahu hala tuju kami dalam pasukan Felcra secepat mungkin.

"Ini bagi memberi ruang kepada kami untuk berunding dengan pasukan-pasukan lain.

"Kalau diikutkan, ramai pemain yang masih ingin kekal bersama Felcra," kata Shahrom.

Dalam masa yang sama, slot dalam Liga Super juga masih menjadi tanda tanya berikutan tiada lagi pengesahan lesen kelab Liga Super oleh pihak pengurusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Saya berasakan ini sesuatu yang tidak adil bagi kami kerana kami telah berusaha untuk mencapai sasaran layak secara merit ke Liga Super. 

"Sayang jika pasukan ini berkubur.

"Saya harap pihak pengurusan dapat memaklumkan secepat mungkin hala tuju kami," katanya. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen