PAHANG 1 PKNS 0

Pahang terus memberi tekanan kepada Perak dalam persaingan tempat kedua Liga Super selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas PKNS FC di Stadium Darulmakmur, malam ini.

Jaringan tunggal Issey Nakajima pada minit ke-26 menyaksikan skuad kendalian Dollah Salleh itu memungut tiga mata berharga di laman sendiri.

Ketiadaan tonggak import, Patrick Cruz yang tidak dapat diturunkan ekoran kecederaan pangkal paha memaksa Dollah untuk mempertaruhkan kudrat bekas pemain kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha, untuk bergandingan dengan Nakajima di jentera serangan.

Ternyata, Norshahrul yang bertindak sebagai perancang berjaya mencorak serangan buat Pahang, menggelecek melepasi beberapa pertahanan sebelum melakukan lorongan kepada Austin Amutu untuk melepaskan percubaan untuk menguji benteng PKNS.

Jaringan pembukaan hadir apabila hantaran Safuwan Baharuddin berjaya disempurnakan oleh Nakajima yang menanduk masuk menewaskan penjaga gol, Zarif Irfan.

PKNS hampir menyamakan kedudukan selepas itu apabila Qayyum Marjoni Sabil melepaskan hantaran untuk mencari Bruno Matos menjaringkan gol tetapi Helmi Eliza Elias berjaya menepis percubaannya.

PKNS mempamerkan aksi agresif dalam babak kedua, dengan peluang terbaik mereka hadir menerusi percubaan Faris Ramli tetapi usaha pemain kebangsaan Singapura itu sekadar melewati palang gol.

Tiada jaringan tambahan buat kedua-dua pasukan, sekali gus membenarkan Pahang menghidupkan peluang mereka untuk merebut tangga kedua Liga Super -- kemenangan ini akan memberikan tekanan buat Perak yang bertemu Kedah dalam aksi di Stadium Perak, Ipoh, malam esok.

Keputusan lain:

Liga Super

MELAKA 3 SELANGOR 2

Liga Perdana

SARAWAK 5 TFC II 2

FELDA 2 PDRM 2

UITM 0 JDT II 2