PERAK 0 KEDAH 0

Perak patut menyalahkan diri sendiri apabila gagal meraih mata penuh selepas diikat 0-0 Kedah dalam perlawanan Liga Super di Ipoh, malam ini.


Ini bermakna perebutan kedudukan naib juara liga di antara Perak dan Pahang perlu ditentukan dalam perlawanan terakhir kedua-dua pasukan itu.

Dalam perlawanan sebentar tadi, tuan rumah, Perak, lebih bersemangat kerana jika mengutip tiga mata, kedudukan naib juara Liga Super sudah pasti di dalam genggaman skuad Yob itu.

Perak mengatur asakan awal dengan gol pada minit ke-13 menerusi sentuhan Mohd Nor Hakim Hassan, namun dibatalkan kerana ofsaid.

Kedah, bagaimanapun, tetap memberi saingan dengan larian cantik Abdul Halim Saari susulan kesilapan yang berpunca daripada pertahanan, Mohammad Idris Ahmad, namun tendangannya sedikit tersasar di kiri gawang Perak.

Kedah terus bertahan sehingga tiupan wisel rehat separuh masa pertama.

Dua minit permainan bersambung, Perak terus mengasak gawang pelawat dengan percubaan Wander Luiz sekali lagi tersasar.

Selepas itu, serangan bertali-arus tuan rumah masih gagal menembusi gawang lawan. The Bos Gaurus sekali lagi menembusi gawang Kedah melalui tandukan Gilmar Da Silva pada minit ke 78 tetapi turut dibatalkan kerana ofsaid.

Masa tambahan empat minit diberikan oleh pengadil perlawanan, namun kedua-dua pasukan buntu mencari gol dan perlawanan tamat dengan kedudukan seri tanpa jaringan.

Keputusan lain

KUALA LUMPUR 2 NEGERI SEMBILAN 1