Nafuzi buka pintu untuk Nor Hakim, Arif

Oleh Tengku Danish Bahri 9 November 2019 17534
Nafuzi buka pintu untuk Nor Hakim, Arif
"Saya sentiasa membuka pintu untuk mereka kembali," kata ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohd Nafuzi Zain, mengenai berita yang mengaitkan pasukan itu dengan pemain sayap Perak, Nor Hakim Hassan, dan bek kiri Felda United, Arif Fadzillah Abu Bakar.

Kesediaan itu dinyatakan Nafuzi, yang tidak asing dengan dua nama itu, selepas masing-masing menjadi rakan sepasukan di T-Team pada 2016 hingga 2017.

Malah, bakat Arif dikesan Nafuzi ketika jurulatih muda itu membawa skuad Piala Presiden T-Team muncul naib juara pada 2016 sebelum menjadi tonggak T-Team dalam Liga Super di bawah kendalian Rahmad Darmawan.

Menurutnya, pengalaman mereka dalam kancah liga tempatan sangat bernilai dan menjadi aset TFC sekiranya penghijrahan itu direalisasikan.

"Nor Hakim sudah membuktikan dia antara pemain sayap terbaik dalam negara selepas dua musim bersama Perak dan tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan TFC.

"Belum ada pengesahan lagi tapi kehadiran Nor Hakim dan Arif sangat dialu-alukan kerana meraka pemain yang berkualiti," tambahnya.

Posisi bek kiri menjadi antara tumpuan TFC selepas tidak menawarkan lanjutan kontrak kepada pemain utama, Adib Aizuddin Ab Latif dan Khairul Anwar Shahruddin.

Malah, pengguguran Malik Mat Arif, Ahmad Syamim Yahya, Nabil Ahmad Latpi, Khairul Izuan Rosli dan Shahrul Aizad Zulkifli menyaksikan kekosongan di bahagian sayap.

Nafuzi, begitupun, menyerahkan kepada pengurusan tertinggi untuk mencapai persetujuan bergantung kepada kemampuan kewangan TFC.

"Kedua-duanya merupakan pemain tonggak sejak bersama T-Team lagi.

"Sekiranya mereka berhasrat untuk kembali berbakti bersama negeri kelahiran, saya sentiasa membuka pintu untuk mereka menyertai TFC," ujarnya.

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen