Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) memberikan pengesahan ketua jurulatih, Eric Williams, telah direhatkan menjelang aksi berdepan Felda United di Jengka, Rabu ini.

Menurut timbalan presidennya, Datuk Wira Yusoff Mahadi, Williams meminta pelepasan kerana mengadu mengalami masalah kesihatan.

Walaupun Williams hanya direhatkan bagi perlawanan dengan Felda, Yusoff tidak menafikan masa depan jurulatih kelahiran England itu kini semakin samar bersama Melaka.

Ini berdasarkan prestasi tidak konsisten Melaka yang kini tersadai di tangga ke-10 Liga Super, hanya satu mata di atas zon penyingkiran.

"Beliau mengakui mengalami masalah kesihatan, jadi saya mengambil keputusan merehatkannya kerana perlawanan berdepan Felda amat penting buat kami," katanya.

Yusoff menjelaskan Melaka belum mahu memulakan pencarian jurulatih baharu untuk menggantikan tempat Williams kerana masih tiada kata putus dalam soal berkenaan.

Malah, penolong jurulatih, G. Selvamohan, yang diberikan peranan untuk mengendalikan pasukan berdepan Felda, juga boleh dilantik selaku ketua jurulatih jika berjaya membantu Melaka meraih tiga mata di Jengka.

"Buat masa ini, kami tidak bercadang untuk mendapatkan pengendali baru tetapi ia akan diputuskan dalam perlawanan pada Rabu ini."