Tiga mata berharga Melaka United tidak akan dapat diraih tanpa kecekapan pemain import baru, Ifedayo Omosuyi, dan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, dalam menafikan percubaan Kuala Lumpur dalam aksi Liga Super, malam tadi.

Aksi sulung Omosuyi bersama pasukan Melaka membuahkan hasil apabila meledak dua jaringan untuk menang 4-3 ke atas Kuala Lumpur di Cheras.

Keceriaan Melaka dalam separuh masa pertama dengan tiga gol pada awalnya tidak bertahan lama apabila Kuala Lumpur bangkit menyamakan kedudukan dalam babak kedua sebelum Omosuyi akhirnya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-76.

Lantaran itu, jurulatih Melaka, E. Elavarasan, memuji kecekapan Khairul Fahmi yang beberapa kali berjaya menyelamatkan gawang daripada dibolosi apabila tuan rumah tidak berputus asa mengasak.

"Dia memberi sumbangan besar kepada pasukan biarpun keputusan malam ini berakhir 4-3.

"Kami menampilkan dua pemain tengah berbeza berbanding aksi sebelum ini.

"Kami mantap ketika menyerang, namun permainan kami agak longgar di kawasan kubu lawan.

"Malam ini (tadi), saya menggandingkan S. Veenod dengan Shahdan Sulaiman di bahagian tengah.

"Ini boleh difahami kerana mereka belum membentuk keserasian lagi. Sebaik mereka menyesuaikan diri, saya percaya kami mampu mengatasi masalah ini," katanya.

Pengendali Kuala Lumpur, Fabio Maciel, pula akur pasukannya tersungkur meskipun mereka bangkit dalam babak kedua.

Aksi tidak konsisten anak buahnya perlu dinilai kembali agar kesilapan tidak berulang untuk menentang lawan sama, Sabtu ini.

"Kami tidak boleh melakukan kesilapan seperti ini, apatah lagi menyedari Melaka gemar mengeksploitasi beberapa gerakan seperti hantaran silang dan melancarkan serangan balas.

"Kami perlu belajar semula agar tidak mengulangi kesilapan serupa," ujar jurulatih dari Brazil itu.