Selepas meraih tiga mata lagi dalam aksi keempat Liga Super, jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT) kelahiran Portugal, Ulisses Morais, hari ini mengumumkan peletakan jawatannya.

Ia sesuatu yang cukup mengejutkan selepas berjaya membimbing JDT di kedudukan terbaik bukan sahaja dalam saingan domestik, malah dalam saingan Piala AFC.

Tiada sebarang spekulasi sebelum ini yang mengaitkan peletakan jawatan Morais, ditambah dengan kejayaan tiga mata dalam kemenangan 3-0 ke atas Melaka United di Larkin, semalam.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman sosial Johor Southern Tigers, pengumuman itu cukup mengejutkan penyokong JDT.

Morais menyatakan masalah kesihatan keluarga antara punca utama peletakan jawatannya terpaksa dilakukan.

Dalam tempoh sembilan bulan bersama juara Liga Super itu, Morais telah membawa beberapa kejayaan buat JDT.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung, khususnya barisan kejurulatih kelab dan pengurusan, yang baginya adalah yang terhebat yang pernah beliau miliki.

Untuk rekod, Morais adalah jurulatih import keenam JDT sejak 2013, bermula dengan Fandi Ahmad, Cesar Fernando Jiminez, Bojan Hodak, Mario Gomez dan Benjamin Mora sebelum tugasan itu diambil alih oleh Morais.

Persoalan yang sedang hangat diperkatakan siapa pula yang bakal mengisi kerusi panas selaku pengendali baru JDT?