Perak tidak mempunyai pilihan melainkan kemenangan ke atas Kuala Lumpur di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini bagi memperbaiki kedudukan dalam Liga Super.

Hakikat itu diakui pengendali pasukan The Bos Gaurus itu, Mehmet Durakovic, yang sedar mereka memerlukan kemenangan malam ini.

"Perak perlu menang perlawanan ini dengan apa cara sekalipun.

"Saya bukan hendak memperkecilkan kemampuan lawan tetapi kami sangat-sangat perlukan kemenangan," katanya.

Jurulatih dari Australia itu sedar kedudukan Perak ketika ini kurang memberangsangkan kerana menduduki tangga kesembilan selepas mengutip sembilan mata daripada sembilan perlawanan.

"Selaku juara Piala Malaysia dan naib juara liga 2018, kami sepatutnya berada dalam kelompok tiga teratas dan bukannya seperti sekarang.

"Kami kerugian 12 mata gara-gara enam kali seri walaupun sepatutnya menang dalam perlawanan-perlawanan itu.

"Oleh yang demikan, kami perlu mula memenangi baki perlawanan bermula malam ini.

"Untuk menang, kami kena menjaringkan gol.

"Masalahnya, itulah yang gagal kami lakukan setakat ini.

"Saya berharap ia berakhir malam ini," tambahnya.

Bagi menghadapi skuad Warga Kota itu, Durakovic akan menurunkan kesemua pemain importnya yang tidak dapat diturunkan ketika tumpas 0-1 kepada Pahang di laman sendiri, Sabtu lalu.

Menurutnya, Gilmar Jose Da Silva, Leandro Dos Santos dan Wunder Luiz sudah boleh beraksi dan mungkin akan disenaraikan dalam kesebelasan utamanya malam ini.