Misi mesti menang buat PKNP FC. Begitu kata Abu Bakar Fadzim mengenai pertemuan anak buahnya dengan Kuala Lumpur di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Ahad ini.

Dengan PKNP FC yang memungut 12 mata menduduki kedudukan ke-10 mengatasi skuad Warga Kota itu dengan hanya satu mata, Abu Bakar berharap anak buahnya mampu melakar kejayaan bagi mengukuhkan kedudukan pasukan.

Menurut jurulatih yang juga pengurus pasukan itu, baki lapan perlawanan ibarat melakukan pecutan ke garisan penamat.

"Tiada pilihan. Ia bagaikan misi hidup mati bagi kami dalam semua perlawanan dalam usaha menentukan kedudukan di akhir persaingan.

"Misi kami ialah bertahan dalam kancah Liga Super 2020.

"Oleh yang demikian, setiap perlawanan adalah penting. Kami mesti menang jika ingin kekal dalam Liga elit ini, " katanya.

Menurut Abu Bakar, PKNP berusaha memperkasa pasukan dengan mencari pengganti Thomas Abbey yang cedera bagi mencukupkan kouta lima pemain import.

Seorang penyerang dari Brazil dikatakan sudah berada di Ipoh tetapi beliau tidak mahu mendedahkan identitinya kerana mahu ia dilakukan oleh pihak atasan persatuan.

"Biarlah pengurusan tertinggi membuat pengumuman mengenai pemain itu," katanya.

PKNP FC setakat ini diperkuatkan oleh Amani Aguinaldo, Pedro Victor Calil Sandoval, Yashir Pinto dan Giancarlo Lopes Rodriguez.