Ketika juara dan naib juara Liga Super musim ini sudah diketahui, tumpuan aksi terakhir liga pastinya terarah kepada persaingan tiga pasukan bawahan, iaitu Kuala Lumpur, Felda United dan PKNP FC, sama ada kekal untuk cabaran musim depan atau sebaliknya.

Aksi terakhir divisyen teratas yang berlangsung serentak pada Ahad ini ibarat hidup dan mati ketiga-tiga pasukan terbabit.

Tiada pilihan lagi, ketiga-tiganya perlu mencipta kemenangan untuk menyalakan harapan kekal dalam Liga Super musim depan.

Di atas kertas, skuad Warga Kota itu dilihat paling sukar untuk mengelak daripada penyingkiran kerana mereka bergantung harap dengan keputusan perlawanan The Fighters dan PKNP.

Menyulitkan lagi peluang The City Boys, mereka perlu berkunjung ke tempat lawan bertemu pasukan handalan, Perak, manakala skuad kendalian Nidzam Jamil dan Abu Bakar Fadzim itu pula mempunyai peluang seimbang untuk salah satu pasukan terselamat daripada penyingkiran.

Ini berdasarkan situasi berbeza kedua-dua pasukan untuk aksi terakhir yang menyaksikan Felda bermodalkan aksi laman sendiri berdepan Kedah tatkala PKNP bertemu Petaling Jaya City FC sebagai lawan sama kuat di tempat lawan.

"Persiapan sepanjang minggu ini berjalan lancar dan semangat pemain di tahap tinggi menjelang aksi terakhir liga.

"Apatah lagi selepas mengetahui Felda tewas kepada Pahang (Rabu lalu), ia sekali gus memberi sedikit kelebihan kepada kami.

"Apa yang penting, kami perlu menang sementara apa yang terjadi antara PKNP dan Felda, kami tidak dapat jangka," kata jurulatih sementara Kuala Lumpur, Roslee Md Derus.