Bahadoran, Luiz sah milik Perak

Oleh Staff Writer 10 Januari 2018 7518
Bahadoran, Luiz sah milik Perak
Pengendali Perak, Mehmet Durakovic, mengesahkan kemasukan dua awang import baru, Wander Luiz dari Brazil dan pemain tengah antarabangsa Filipina, Misagh Bahadoran, bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

Kedua-dua pemain import itu beraksi ketika perlawanan pramusim berdepan MOM FC semalam yang menyaksikan Perak menang 4-1 dan ketua jurulatih yang pernah menyarung jersi Selangor itu berpuas hati dengan kelibat dua pemain itu.

"Luiz memiliki sentuhan dan visi yang bagus di atas padang, begitu juga dengan Misaqh. Saya gembira menyaksikan mereka beraksi," kata Mehmet.

Dalam aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium BSN, Bangi semalam, skuad The Bos Gaurus membuka tirai jaringan menerusi Gilmar Jose Da Silva pada minit ke-35 sebelum MOF menyamakan kedudukan menerusi Fakhrullah Rosli, lima minit selepas babak kedua bersambung.

Bagaimanapun, Perak membalas dengan tiga lagi gol, bermula dengan jaringan Luiz pada minit ke-60, Sharul Saat (m-67) serta gol kedua peribadi Gilmar (m-75).

Pengendali MOF, Razip Ismail, menyifatkan aksi persahabatan tersebut sebagai pendedahan berguna buat pasukannya yang beraksi dalam Piala FAM.

"Perlawanan ini adalah sesuatu yang sukar tetapi berguna buat pemain-pemain kerana kita tahu Perak adalah pasukan yang bagus dari Liga Super dan dibarisi beberapa pemain import, jadi ia memberikan pengalaman yang baik," ujar Razip.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen