MFL: Pembayaran hak penyiaran fasa pertama selesai 

Oleh Staff Writer 17 Julai 2019 160
MFL: Pembayaran hak penyiaran fasa pertama selesai 
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan kesemua pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) bagi musim 2019 sudah menerima pembayaran hak penyiaran fasa pertama, semalam. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, pembayaran hak penyiaran itu membuktikan bahawa MFL berpegang kepada janjinya untuk mengagihkan wang hak penyiaran kepada setiap pasukan. 

Kebanyakan pasukan hanya menerima bayaran tersebut pada lewat petang semalam dan kelewatan itu adalah berpunca daripada pemindahan wang dalam jumlah yang besar ke dalam akaun setiap pasukan.

"Agihan dan geran hak penyiaran MFL juga akan mengambil kira denda daripada MFL dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA)," kata Kevin. 

Sebelum ini, pentadbir Liga-M itu berdepan kesukaran untuk menyelesaikan pembayaran berikutan pembatalan Telekom Malaysia (TM) sebagai penaja utama, Mac lalu, ekoran tiada pembayaran musim ini.

Meskipun MFL tidak diwajibkan membuat bayaran hak penyiaran kepada setiap pasukan berlandaskan perlembagaannya, MFL bagaimanapun tidak akan mengabaikan rakan-rakan kongsi mereka.

"Saya sendiri dihubungi wakil-wakil daripada pasukan yang memaklumkan bahawa duit (geran) dah masuk," tambahnya. 

Menurut Setiausaha Agung PKNS FC, Adi Harimizi, pula: "Kami berterima kasih kepada MFL atas usaha untuk memenuhi apa yang dijanjikan kepada setiap pasukan dan kelab yang bertanding dalam Liga Super dan Liga Perdana."

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen