MFL jangka bayar geran November depan 

Oleh Staff Writer 24 September 2019
MFL jangka bayar geran November depan 
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kembali menabur janji untuk melunaskan pembayaran kedua hak penyiaran kepada pasukan Liga Malaysia (Liga-M) 2019 apabila mengesahkan ia akan dibuat selewat-lewatnya November depan. 

Badan pentadbir liga itu menetapkan pembayaran hak penyiaran kepada pasukan yang bertanding akan dibuat sebanyak dua kali. Ia bermula pada 15 Julai disusuli pembayaran akhir pada 15 Ogos selepas menerima kemasukan rakan kongsi baru dalam penstrukturan hak penyiaran liga, dua bulan lalu. 

Begitupun, agihan pembayaran kedua masih belum dijelaskan sehingga kini dan mungkin ia dapat dilakukan selepas berakhirnya kempen musim ini.

"Nilai RM3 juta itu akan tetap dilunaskan cuma kami masih perlukan masa atas kekangan yang seperti semua sedia maklum ekoran ketiadaan penaja. 

"Kami akan berusaha keras untuk melunaskannya selewat-lewatnya November ini," kata Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Wira Yusoff Mahadi, dalam satu lawatan di Akademi Merah Kuning, Shah Alam, hari ini. 

Untuk rekod, setiap pasukan akan menerima hak penyiaran sama seperti musim lalu, iaitu sebanyak RM3 juta bagi pasukan Liga Super sementara pasukan Liga Perdana akan mendapat RM1 juta. 

Mengulas mengenai kelewatan pembayaran kedua itu, Yusoff memberi reaksi: "Memang ketua pegawai eksekutif (CEO) MFL (Kevin Ramalingam) sudah menjangkakan 15 Ogos lalu kami sudah dapat membuat pembayaran kali kedua tetapi ia tidak juga berlaku. 

"Jadi, kami tarik panjang (tunda) sedikit, kami harap ia dapat dilaksanakan November depan," katanya lagi. 

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, mengesahkan isu pembayaran hak penyiaran tidak menjejaskan urusan permohonan pelesenan kelab setiap pasukan.

Menurutnya, badan induk itu hanya mengambil kira dokumentasi kewangan setiap pasukan pada musim 2018 tatkala musim ini, beberapa pasukan dibelenggu masalah tunggakan gaji pemain.

"Tindakan keras perlu diambil FAM tetapi kami tidak boleh memandang situasi ini dari satu arah. 

"Kami mesti mengambil keputusan demi pembangunan kestabilan bola sepak selain ada lesen atau tidak.

"Kami perlu ada jalan untuk menyelesaikan isu-isu ini," katanya. 

Sementara itu, badan induk berkenaan menetapkan 31 Ogos lalu sebagai tarikh akhir buat semua pasukan Liga Super dan Liga Perdana untuk mengemukakan segala dokumen yang diperlukan bagi tujuan pelesenan kelab musim 2020.

"Saya harap kami dapat awal dan saya dengar (kami akan terima geran pada) November depan. Saya harap FAM dan MFL dapat membantu," kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa.

"Liga hampir tamat, kami juga akan tutup kedai. 

"Baru-baru ini kami mengadakan mesyuarat exco dan berbincang bagaimana untuk membayar gaji tertunggak untuk menghabiskan musim ini. 

"Penyelesaiannya, kami akan meminta bantuan daripada Kerajaan Negeri," kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Jefri Lana, pula.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen