Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak menolak kemungkinan ada pasukan yang akan dikenakan tindakan pemotongan mata atau sekatan perpindahan pemain susulan kesalahan melanggar tempoh pendaftaran pasukan musim ini.

MFL sebelum ini mengarahkan tujuh pasukan yang belum didedahkan senarai namanya supaya mengemukakan dokumen kewangan sebagai proses melengkapkan pendaftaran Liga Malaysia (Liga-M) 2019.

Daripada jumlah itu, hanya Perlis sudah disahkan gagal berbuat demikian. Justeru, penyertaan skuad Singa Utara dibatalkan serta-merta kerana turut berdepan dengan masalah tunggakan gaji musim ini.

Namun, nasib enam pasukan lain yang turut berdepan isu gaji tertunggak menjadi tanda tanya tatkala pemberian geran tahunan oleh MFL akan dilakukan dalam masa terdekat.

"Banyak dokumen yang perlu diteliti Ahli Lembaga Pengarah MFL, ia perlu dibuat satu persatu.

"Kami menghadapi sedikit kekangan kerana kami perlu memanggil Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk bermesyuarat," kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam.

MFL mengesahkan enam pasukan terbabit masih gagal menyelesaikan hutang lapuk sepenuhnya walaupun PDRM dan Kuala Lumpur sudah menunjukkan komitmen untuk berbuat demikian.

"Apapun, satu keputusan perlu dibuat atas kegagalan ketika pendaftaran pasukan musim ini.

"Walaupun ada usaha baik yang dilakukan pasukan terbabit, mereka tidak terlepas daripada peraturan yang dikenakan.

"Mungkin mereka boleh mengelak hukuman lebih berat tetapi hukuman mungkin masih perlu dipertimbangkan.

"Hanya kerana mereka telah menjelaskan masalah kewangan terbabit, mereka tidak boleh menganggap bahawa tiada apa-apa yang berlaku," tambah Kevin.