Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi peringatan bahawa status tujuh pasukan masih belum selamat biarpun telah menghantar dokumen kewangan masing-masing seperti yang diminta badan induk itu.

Meskipun tidak menamakan pasukan-pasukan tersebut, Perlis dan Felda United difahamkan berada dalam senarai itu berdasarkan keterbukaan luahan pemain serta laporan Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang dikeluarkan Jumaat lalu.

MFL melanjutkan tambahan tempoh selama 48 jam kepada dua pasukan, salah satunya adalah Perlis, untuk menghantar baki dokumen yang sepatutnya berakhir hari ini.

Kesemua tujuh pasukan berkenaan sudah menghantarnya dan antara dokumen yang diperlukan MFL adalah surat jaminan penajaan.

Bagaimanapun, MFL akan menyiasat bagi menentukan kesemua dokumen yang diserahkan itu adalah sahih.

Jika terdapat sebarang ketirisan dalam dokumen berkenaan, pihak perundangan dan kewangan MFL akan membentangkannya dalam mesyuarat ahli Lembaga Eksekutif MFL minggu depan.

Sekiranya pasukan tersebut benar-benar mnengalami masalah yang serius, tindakan akan diambil dan kemungkinan bakal disingkirkan daripada saingan liga.

"Kesemua pasukan terbabit sudah menghantar dokumen yang dituntut, cuma kami perlu pastikan kesahihannya terlebih dahulu.

"MFL tidak sekadar menilai sesuatu dokumen itu daripada segi permukaannya, sebaliknya MFL sendiri yang akan mendapatkan kesahihan maklumatnya untuk mengenal pasti kemampuan syarikat terbabit untuk menaja atau melabur kepada sesebuah pasukan," Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam.