Tujuh pasukan Liga Malaysia (Liga M) dikenakan tindakan pemotongan 50 peratus daripada jumlah geran bagi musim 2019 berikutan gagal mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan pada 31 Disember 2018.

Tujuh pasukan terbabit terdiri daripada tiga pasukan Liga Super dan empat pasukan Liga Perdana.

Tiga pasukan Liga Super itu adalah Kuala Lumpur, Felda United dan Melaka manakala pasukan Liga Perdana ialah Kelantan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sarawak dan Pulau Pinang.

Lebih parah, Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, PDRM dan Sarawak turut dikenakan denda sekatan perpindahan bagi jendela perpindahan kedua bermula 2 Mei ini kerana mengulangi kesalahan sama seperti tahun lalu.

Lima pasukan itu serta Melaka turut diwajibkan menyerahkan dokumen/pelan kepada MFL yang menunjukkan kestabilan kewangan pasukan, jumlah pendapatan pasukan bagi musim 2019 dan bukti serta dokumen menunjukkan semua tunggakan hutang diselesaikan pada atau sebelum jam 5 petang 22 Mei ini.

Sekiranya gagal berbuat demikian, pemotongan tiga mata akan dikenakan kepada pasukan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingan, dalam satu kenyataan berhubung perkara itu hari ini, berkata keputusan hukuman tersebut diputuskan Anggota Lembaga Pengarah MFL.

Semua pasukan berkenaan, bagaimanapun, berhak membuat rayuan dalam tempoh tujuh hari sehingga jam 5 petang, 29 April ini.

"Kami telah memaklumkan kepada tujuh pasukan terlibat tentang keputusan dibuat Anggota Lembaga Pengarah MFL hari ini, dengan lima pasukan itu melakukan kesalahan berulang bagi dua tahun berturut-turut manakala dua pasukan lagi melakukan kesalahan pertama.

"Bagi lima pasukan melakukan kesalahan berulang, mereka dikenakan hukuman tambahan melibatkan larangan perpindahan pemain pada jendela perpindahan akan datang.

"Sementara itu, pasukan-pasukan masih memiliki baki dokumen diperlukan untuk pendaftaran, terutama berkaitan dengan kewangan, mereka diberi masa 30 hari untuk kemas kini dokumen berkenaan.

"Mereka akan dikenakan hukuman pemotongan tiga mata jika gagal menyerahkan dokumen seperti yang dikehendaki dalam tempoh 30 hari tersebut," katanya.

Kevin berkata daripada tujuh pasukan terbabit, hanya Felda United telah menyerahkan semua dokumen diperlukan kepada MFL.

Beliau berkata pemotongan 50 peratus daripada geran tahunan kekal sama seperti tahun lalu biarpun badan pentadbir itu masih belum mengumumkan penaja baharu untuk Liga Malaysia musim ini.

"Jumlah dikenakan pada tahun lepas adalah 50 peratus daripada geran tahunan diberikan pada 2018 dan pada 2019 (geran tahunan) akan diberikan di mana peratusan (nilai hukuman) tetap sama tidak kira jumlah keseluruhan geran diberikan,” katanya.

-- BERNAMA